Pages

Wednesday, February 24, 2016

Kaji Semula Takrifan Maklumat Sulit/Rahsia Kerjaan & Pupuk Kesedaran Untuk Tampil Sebagai Pemberi Maklumat

KENYATAAN MEDIA: 25 FEBUARI 2016



Berikut adalah kenyataan balas terhadap laporan akhbar The Star: ‘Lower-qualified govt servants less likely to leak documents’ (25/2/2016) yang memetik kenyataan Datuk Seri Idris Haron, Ketua Menteri Melaka yang menyebut bahawa mereka yang berpendidikan rendah dalam jabatan kerajaan tidak akan mengambil risiko tindakan displin untuk tampil sebagai pemberi maklumat.

Beliau seterusnya menyatakan bahawa kerajaan mengekalkan dan lebih cenderung memilih mereka yang hanya mempunyai syarat kelayakan minima untuk jawatan-jawatan peringkat bawahan dalam kerajaan seperti yang ditetapkan pada zaman penjajahan British bagi mengelakkan berlakunya kebocoran dokumen dan maklumat.

Kenyataan Ketua Menteri Melaka ini seolah-olah satu penghinaan terhadap pejawat awam peringkat bawahan dan jika benar ini adalah pendekatan yang digunapakai di jabatan-jabatan kerajaan, ini akan menyebabkan mutu perkhidmatan dan pentadbiran yang tidak efektif dan seolah-olah akan kekal seperti keadaan negara dijajah.

Sebaliknya, kerajaan seharusnya meningkatkan kualiti perkhidmatan dan perlu mengambil sikap terbuka dalam usaha menguruskan isu kebocoran rahsia dan menghadapi pemberi maklumat yang berani untuk tampil dedahkan penyelewengan seperti berikut:-



1.      Tingkatkan keterbukaan dan ketelusan dalam pentadbiran termasuk untuk mengkaji semula klasifikasi maklumat atau dokumen sebagai rahsia dan sulit. Penggunaan Akta Rahsia Sulit 1972 (OSA) adalah begitu meluas sedangkan maklumat-maklumat tersebut tidak semestinya mengancam keselamatan negara. Sebagai contoh, keputusan tender atau kontrak boleh didedahkan secara umum bagi menjamin ketelusan proses yang seterusnya memberi kebaikan dan keuntungan kepada rakyat.



2.      Pendidikan rendah bukanlah faktor menyebabkan seseorang itu takut mengambil risiko untuk menyalurkan maklumat penyelewengan. Berdasarkan pengalaman NOW dalam melindungi pemberi maklumat, mereka yang tampil kebiasaannya faham tentang risiko dan keterbatasan dalam usaha menghentikan penyelewengan dan memilih kaedah pendedahan NOW sebagai jalan terbaik. Sebaliknya, penjawat-penjawat awam perlu diberi kesedaran dan pendidikan yang berterusan terutamanya mengenai kepentingan menyalurkan maklumat penyelewengan dan salah guna kuasa demi melindungi kepentingan orang ramai.



3.      Jabatan-jabatan kerajaan sewajarnya mewujudkan saluran untuk pemberi maklumat tampil ke hadapan bagi melaporkan kes-kes penyelewengan. Walau bagaimanapun, saluran pemberi maklumat ini perlulah bebas daripada pengaruh pengurusan jabatan tersebut bagi mengelakkan pemberi maklumat dihukum atau dijadikan mangsa terutamanya mereka yang melaporkan kesalahan bos mereka. Kerjasama dengan badan-badan bebas seperti NOW boleh dijalankan bagi mewujudkan saluran pemberi maklumat di setiap peringkat agar suasana kondusif untuk pemberi maklumat tampil dengan maklumat penyelewengan.


AKMAL NASIR
Pengarah
National Oversight and Whistleblowers (NOW)

Tuesday, February 23, 2016

Adakah Usaha Penjenamaan Semula SPRM Sejak Tahun 2009 Akan Berakhir Dengan Kegagalan?

KENYATAAN MEDIA 24 FEBUARI 2016


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang wujud pada hari ini adalah hasil perubahan dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan pada tahun 2009 dalam usaha membanteras rasuah, iaitu merupakan kesinambungan daripada Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Tahun 2009 jugalah lahirnya Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (Akta SPRM 2009) bagi menggantikan Akta Badan Pencegah Rasuah 1982.



Selain daripada Akta SPRM 2009, penjenamaan SPRM juga melibatkan usaha ketelusan dan ‘check and balance’ dalam urusan dan pentadbiran SPRM itu sendiri.

Maka diwujudkan panel-panel khas seperti Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Jawatankuasa Aduan (JA), Panel Penilaian Operasi (PPO) serta Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR).

Merujuk kepada laporan berita yang menyebut bahawa lantikan 8 anggota panel bagi PPO akan berakhir hari ini dan bagaimana PPO masih mengekalkan pendirian agar Dato’ Seri Najib Razak wajar didakwa akan menimbulkan pelbagai persoalan.

Adakah pandangan dan pendirian PPO akan membawa sebarang makna atau perubahan dalam usaha membawa pendakwaaan terhadap Dato’ Seri Najib?

Sekiranya tidak, apakah keperluan untuk SPRM mempunyai panel-panel khas sedangkan panel-panel ini gagal bertindak sebagai ‘check and balance’?

Adakah kuasa perlantikan anggota-anggota panel ini akan terus dikekalkan dibawah Perdana Menteri?

Kelewatan dan kegagalan untuk menyelesaikan kes-kes kewangan yang melibatkan 1MDB hanya akan mendedahkan lebih banyak lagi kelemahan Akta SPRM 2009 dan juga kegagalan sistem yang sedia ada serta membantutkan usaha negara melawan rasuah.

Sekiranya Perdana Menteri memilih untuk membubarkan PPO yang mempunyai hak untuk mengemukakan pandangan mengenai kes di mana tiada pendakwaan terhadap tertuduh daripada pendakwa raya, usaha penjenamaan semula SPRM sejak 2009 adalah sia-sia dan beliau sendiri boleh dianggap tidak lagi mempercayai peranan SPRM.



AKMAL NASIR
Pengarah
National Oversight and Whistleblowers (NOW)

Thursday, February 18, 2016

Laporan Polis Berhubung Skandal MARA

KENYATAAN MEDIA 18.2.2016


1. National Oversight & Whistleblowers (NOW) yang diwakili oleh saya, Akmal Nasir dan saudara Fahmi Zainol baru selesai membuat laporan polis jam 3.50 petang tadi di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

2. Laporan polis ini dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa memulakan siasatan terhadap skandal pembelian hartanah di Australia oleh pihak MARA dimana MARA telah 'terlebih bayar' sebanyak RM 129 juta dan juga memulakan siasatan terhadap individu-individu yang dinamakan di dalam Mahkamah di Australia.

3. Laporan polis ini dibuat bagi menyerahkan dokumen-dokumen yang difailkan di Mahkamah di Australia sebagai asas siasatan dan bukti penglibatan individu-individu tersebut. Dokumen-dokumen tersebut adalah Statement of Claim dan senarai invois seperti yang didedahkan oleh YB Rafizi Ramli sebelum ini. Juga disertakan dokumen gambar rajah struktur syarikat dan individu yang terlibat dan sedutan transkip seperti lampiran.

https://drive.google.com/file/d/0B6w8TStZj7vPMmRpMkxVQ3hFWlE/view?usp=sharing

https://drive.google.com/file/d/0B6w8TStZj7vPUDNaSzNkZGlIdEk/view?usp=sharing


4. Gambar rajah struktur tersebut secara jelas menunjukkan kaitan tiga individu iaitu Mazrul Haizad Marof (abang ipar kepada Dazma Shah Daut) yang memiliki/terlibat dengan 3 buah syarikat yang menerima bayaran RM 14 juta, Ahmad Nazim Abdul Rahman (CEO Pelaburan MARA) dan Dazma Shah Daut (EXCO Pemuda UMNO).

5. Laporan polis ini dibuat bagi membolehkan pihak polis menyiasat sekiranya terdapat unsur-unsur pecah amanah atau Criminal Breach of Trust (CBT) terutamanya jika melibatkan pengurusan tertinggi MARA atau penglibatan mana-mana ahli politik.

5. Laporan polis ini dibuat sebagai usaha untuk mencari jalan agar wang 'terlebih bayar' ini dalam dikembalikan kepada MARA.

6.. Laporan polis dibuat kerana MARA telah gagal untuk selesaikan skandal ini, walaupun Pengerusinya sendiri telah memberi jaminan untuk mengambil tindakan yang sewajarnya sejak skandal ini terbongkar, kira-kira 8 bulan yang lepas.

7. Laporan polis dibuat bagi membela kebajikan dan nasib rakyat terutamanya anak-anak muda mahasiswa dan usahawan Melayu serta Bumiputera yang layak dan sepatutnya dibantu oleh MARA.


Sekian, terima kasih.


----

Akmal Nasir
Pengarah
NATIONAL OVERSIGHT AND WHISTLEBLOWERS
www.nowmalaysia.org

Tuesday, February 16, 2016

Tambah Baik Akta SPRM 2009: Jadikan 'Hidup Mewah Melampaui Kemampuan' Sebagai Asas Siasatan Dan Bukti Rasuah

KENYATAAN MEDIA:


Cadangan yang dikemukakan oleh Tan Sri Dato' Sri Mohamed Apandi Ali, Peguam Negara agar hukuman Akta Rahsia Rasmi (OSA) ditingkatkan kepada penjara seumur hidup dan 10 kali sebatan terhadap pemberi maklumat telah menerima kritikan hebat daripada kumpulan masyarakat sivil, ahli-ahli politik dan rakyat.

Walaupun pihak terbabit mempertahankan cadangan tersebut dengan alasan untuk memelihara integriti institusi kerajaan, pengumuman tersebut ketika negara dikejutkan dengan pendedahan demi pendedahan oleh pemberi maklumat mengenai penyelewengan, rasuah dan ketirisan menunjukkan kelemahan undang-undang sedia ada untuk mencegah perbuatan tersebut daripada berlaku.


Jika benar Peguam Negara peka dengan soal integriti dalam pentadbiran kerajaan, seharusnya beliau menyemak kembali cadangan dan usaha untuk menambah baik Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009. Malah cadangan penambahbaikan akta ini pernah dibawa beberapa kali oleh SPRM namun masih belum berhasil.

Bagi usaha penambahbaikan Akta SPRM 2009, National Oversight and Whistleblowers (NOW) telah menumpukan kepada beberapa perkara utama termasuklah untuk memperuntukkan kehidupan mewah melampaui kemampuan atau Living Beyond Means sebagai asas untuk siasatan dan bukti rasuah.

Setakat ini, Seksyen 36 dibawah Akta SPRM iaitu berkaitan dengan ‘Kuasa Untuk Memperoleh Maklumat’ menghadkan kuasa SPRM hanya untuk memaksa mereka yang sedang disiasat kes salah laku dan penyelewengan untuk mengisytiharkan harta dengan notis sekadar untuk membantu siasatan.



Walaupun pendedahan demi pendedahan yang dibuat oleh NOW disokong dengan fakta dan bukti-bukti yang kukuh, mereka yang disyaki terlibat dengan skandal yang berkenaan masih bebas dan gagal dikaitkan dengan sebarang kesalahan mengikut undang-undang sedia ada.

Sebaliknya, pemberi maklumat berdepan dengan risiko dan terdedah dengan siasatan dan tekanan daripada pihak berkuasa.

Kejayaan NOW dalam membuktikan setiap pendedahan dengan elemen salah guna kuasa atau penyelewengan mendapat sokongan orang ramai yang secara langsung jelas menunjukkan tahap integriti yang tinggi dikalangan masyarakat, akan tetapi melangkaui peruntukkan Akta SPRM 2009 untuk dikenakan tindakan susulan.

Kehidupan mewah melampaui kemampuan sewajarnya dijadikan asas bagi membolehkan siasatan salah laku dan penyelewengan dijalankan sekaligus meningkatkan tahap integriti dan usaha melawan rasuah seperti berikut:-

1. Siasatan boleh dijalankan terhadap mana-mana individu yang kehidupannya mewah melampaui kemampuan terutamanya mereka yang berkhidmat atau mempunyai kepentingan awam seperti para Menteri, ahli politik, pegawai kerajaan dan syarikat-syarikat swasta 
2. Menjadi tanggungjawab mana-mana individu yang didapati hidup melampaui kemampuan untuk membuktikan pendapatan dan kekayaan diperoleh melalui cara yang sah disisi undang-undang 
3. Sekiranya seseorang gagal menjelaskan bagaimana harta atau kemewahan diperoleh, kehidupan melampaui kemampuan cukup dijadikan bukti sebagai rasuah dan penyelewengan 
4. Pengisytiharan harta boleh dilaksanakan secara berkala bagi memastikan harta dan kekayaan menggambarkan kemampuan sebenar, sekaligus akan mencegah penyelewengan dan ketirisan diperingkat awal


AKMAL NASIR
Pengarah
National Oversight and Whistleblowers (NOW)

Saturday, February 6, 2016

Hentikan Maklumat Bocor Dengan Hukum Mereka Yang Seleweng dan Salah Guna Kuasa

KENYATAAN MEDIA 7.2.2016

Berikut adalah respon terhadap kenyataan Peguam Negara yang mencadangkan tindakan tegas terhadap pemberi maklumat termasuk hukuman penjara seumur hidup dan hukuman sebatan:-

1. Tindakan merahsiakan urusan kerajaan terutamanya melalui undang-undang seperti Akta Rasmi Rahsia (OSA) tidak lagi relevan pada masa kini dengan mengambil kira aras (expectation) orang ramai terhadap integriti dan ketelusan adalah tinggi sejajar dengan peredaran zaman dan perkembangan teknologi. Mustahil untuk sesebuah kerajaan menyimpan rahsia terutamanya yang membawa natijah buruk kepada masyarakat kerana sesiapa sahaja yang memiliki maklumat tersebut dan mempunyai kesedaran serta keberanian boleh tampil kehadapan sebagai pemberi maklumat. Malah, tindakan kerajaan merahsiakan sesuatu perkara daripada rakyat akan menimbulkan syak wasangka dan lazimnya kerahsiaan itu dibuat hanya bagi melindungi golongan tertentu.

2. Sebaliknya, undang-undang dan pengutkuasaan sepatutnya menumpukan kepada usaha mengangkat tatakelola yang baik, keterbukaan, ketelusan dan integriti dalam pentadbiran kerajaan.

3. Malangnya, cadangan Peguam Negara untuk mengetatkan undang-undang untuk menghukum pemberi maklumat termasuk hukuman penjara seumur hidup dan sebatan adalah seolah-olah tindakan untuk menghukum pemberi maklumat dan seterusnya melindungi mereka yang pecah amanah.


4. Kebocoran maklumat berkaitan dengan salah guna kuasa, ketirisan dan pecah amanah hanya berlaku apabila hilang keyakinan terhadap organisasi tersebut. Kegagalan tindakan pembaikan dan pencegahan secara dalaman menyebabkan pemberi maklumat mencari saluran alternatif. Kebanyakan pendedahan yang dibuat adalah demi kepentingan orang ramai dan berupaya menghentikan daripada perkara tersebut terus berulang.

5. Setakat ini, pendedahan-pendedahan yang dibuat melalui Pusat Perlindungan Pemberi Maklumat dan Pemantau Kebangsaan atau National Oversight and Whitsleblowers (NOW) mempunyai asas dan bukti yang kukuh. Usaha bersama dengan pemberi maklumat ini meningkatkan lagi integriti dan memberi ingatan kepada jabatan dan agensi yang berkenaan untuk melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah.

6. Masalah kebocoran maklumat akan terhenti apabila penyelewengan tidak berlaku. Tiada keperluan untuk pemberi maklumat mengambil risiko membuat pendedahan salah laku apabila siasatan dijalankan dan tindakan yang tegas diambil terhadap mereka yang pecah amanah dan salah guna kuasa. Hukuman yang lebih berat sewajibnya dikenakan terhadap mereka yang pecah amanah, pesalah rasuah atau mahupun yang salah guna kuasa, manakala pemberi maklumat wajar dilindungi.

7. Walau apapun cabaran termasuk tekanan undang-undang, organisasi seperti NOW akan terus berkhidmat dan kekal relevan dalam masyarakat selagi rasuah, ketirisan dan salah guna kuasa kekal berleluasa dalam negara.


AKMAL NASIR
Pengarah
National Oversight & Whitsleblowers (NOW)