Pages

Tuesday, February 23, 2016

Adakah Usaha Penjenamaan Semula SPRM Sejak Tahun 2009 Akan Berakhir Dengan Kegagalan?

KENYATAAN MEDIA 24 FEBUARI 2016


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang wujud pada hari ini adalah hasil perubahan dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan pada tahun 2009 dalam usaha membanteras rasuah, iaitu merupakan kesinambungan daripada Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Tahun 2009 jugalah lahirnya Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (Akta SPRM 2009) bagi menggantikan Akta Badan Pencegah Rasuah 1982.



Selain daripada Akta SPRM 2009, penjenamaan SPRM juga melibatkan usaha ketelusan dan ‘check and balance’ dalam urusan dan pentadbiran SPRM itu sendiri.

Maka diwujudkan panel-panel khas seperti Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Jawatankuasa Aduan (JA), Panel Penilaian Operasi (PPO) serta Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR).

Merujuk kepada laporan berita yang menyebut bahawa lantikan 8 anggota panel bagi PPO akan berakhir hari ini dan bagaimana PPO masih mengekalkan pendirian agar Dato’ Seri Najib Razak wajar didakwa akan menimbulkan pelbagai persoalan.

Adakah pandangan dan pendirian PPO akan membawa sebarang makna atau perubahan dalam usaha membawa pendakwaaan terhadap Dato’ Seri Najib?

Sekiranya tidak, apakah keperluan untuk SPRM mempunyai panel-panel khas sedangkan panel-panel ini gagal bertindak sebagai ‘check and balance’?

Adakah kuasa perlantikan anggota-anggota panel ini akan terus dikekalkan dibawah Perdana Menteri?

Kelewatan dan kegagalan untuk menyelesaikan kes-kes kewangan yang melibatkan 1MDB hanya akan mendedahkan lebih banyak lagi kelemahan Akta SPRM 2009 dan juga kegagalan sistem yang sedia ada serta membantutkan usaha negara melawan rasuah.

Sekiranya Perdana Menteri memilih untuk membubarkan PPO yang mempunyai hak untuk mengemukakan pandangan mengenai kes di mana tiada pendakwaan terhadap tertuduh daripada pendakwa raya, usaha penjenamaan semula SPRM sejak 2009 adalah sia-sia dan beliau sendiri boleh dianggap tidak lagi mempercayai peranan SPRM.



AKMAL NASIR
Pengarah
National Oversight and Whistleblowers (NOW)