Pages

Wednesday, February 24, 2016

Kaji Semula Takrifan Maklumat Sulit/Rahsia Kerjaan & Pupuk Kesedaran Untuk Tampil Sebagai Pemberi Maklumat

KENYATAAN MEDIA: 25 FEBUARI 2016



Berikut adalah kenyataan balas terhadap laporan akhbar The Star: ‘Lower-qualified govt servants less likely to leak documents’ (25/2/2016) yang memetik kenyataan Datuk Seri Idris Haron, Ketua Menteri Melaka yang menyebut bahawa mereka yang berpendidikan rendah dalam jabatan kerajaan tidak akan mengambil risiko tindakan displin untuk tampil sebagai pemberi maklumat.

Beliau seterusnya menyatakan bahawa kerajaan mengekalkan dan lebih cenderung memilih mereka yang hanya mempunyai syarat kelayakan minima untuk jawatan-jawatan peringkat bawahan dalam kerajaan seperti yang ditetapkan pada zaman penjajahan British bagi mengelakkan berlakunya kebocoran dokumen dan maklumat.

Kenyataan Ketua Menteri Melaka ini seolah-olah satu penghinaan terhadap pejawat awam peringkat bawahan dan jika benar ini adalah pendekatan yang digunapakai di jabatan-jabatan kerajaan, ini akan menyebabkan mutu perkhidmatan dan pentadbiran yang tidak efektif dan seolah-olah akan kekal seperti keadaan negara dijajah.

Sebaliknya, kerajaan seharusnya meningkatkan kualiti perkhidmatan dan perlu mengambil sikap terbuka dalam usaha menguruskan isu kebocoran rahsia dan menghadapi pemberi maklumat yang berani untuk tampil dedahkan penyelewengan seperti berikut:-



1.      Tingkatkan keterbukaan dan ketelusan dalam pentadbiran termasuk untuk mengkaji semula klasifikasi maklumat atau dokumen sebagai rahsia dan sulit. Penggunaan Akta Rahsia Sulit 1972 (OSA) adalah begitu meluas sedangkan maklumat-maklumat tersebut tidak semestinya mengancam keselamatan negara. Sebagai contoh, keputusan tender atau kontrak boleh didedahkan secara umum bagi menjamin ketelusan proses yang seterusnya memberi kebaikan dan keuntungan kepada rakyat.



2.      Pendidikan rendah bukanlah faktor menyebabkan seseorang itu takut mengambil risiko untuk menyalurkan maklumat penyelewengan. Berdasarkan pengalaman NOW dalam melindungi pemberi maklumat, mereka yang tampil kebiasaannya faham tentang risiko dan keterbatasan dalam usaha menghentikan penyelewengan dan memilih kaedah pendedahan NOW sebagai jalan terbaik. Sebaliknya, penjawat-penjawat awam perlu diberi kesedaran dan pendidikan yang berterusan terutamanya mengenai kepentingan menyalurkan maklumat penyelewengan dan salah guna kuasa demi melindungi kepentingan orang ramai.



3.      Jabatan-jabatan kerajaan sewajarnya mewujudkan saluran untuk pemberi maklumat tampil ke hadapan bagi melaporkan kes-kes penyelewengan. Walau bagaimanapun, saluran pemberi maklumat ini perlulah bebas daripada pengaruh pengurusan jabatan tersebut bagi mengelakkan pemberi maklumat dihukum atau dijadikan mangsa terutamanya mereka yang melaporkan kesalahan bos mereka. Kerjasama dengan badan-badan bebas seperti NOW boleh dijalankan bagi mewujudkan saluran pemberi maklumat di setiap peringkat agar suasana kondusif untuk pemberi maklumat tampil dengan maklumat penyelewengan.


AKMAL NASIR
Pengarah
National Oversight and Whistleblowers (NOW)