Pages

Tuesday, February 16, 2016

Tambah Baik Akta SPRM 2009: Jadikan 'Hidup Mewah Melampaui Kemampuan' Sebagai Asas Siasatan Dan Bukti Rasuah

KENYATAAN MEDIA:


Cadangan yang dikemukakan oleh Tan Sri Dato' Sri Mohamed Apandi Ali, Peguam Negara agar hukuman Akta Rahsia Rasmi (OSA) ditingkatkan kepada penjara seumur hidup dan 10 kali sebatan terhadap pemberi maklumat telah menerima kritikan hebat daripada kumpulan masyarakat sivil, ahli-ahli politik dan rakyat.

Walaupun pihak terbabit mempertahankan cadangan tersebut dengan alasan untuk memelihara integriti institusi kerajaan, pengumuman tersebut ketika negara dikejutkan dengan pendedahan demi pendedahan oleh pemberi maklumat mengenai penyelewengan, rasuah dan ketirisan menunjukkan kelemahan undang-undang sedia ada untuk mencegah perbuatan tersebut daripada berlaku.


Jika benar Peguam Negara peka dengan soal integriti dalam pentadbiran kerajaan, seharusnya beliau menyemak kembali cadangan dan usaha untuk menambah baik Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009. Malah cadangan penambahbaikan akta ini pernah dibawa beberapa kali oleh SPRM namun masih belum berhasil.

Bagi usaha penambahbaikan Akta SPRM 2009, National Oversight and Whistleblowers (NOW) telah menumpukan kepada beberapa perkara utama termasuklah untuk memperuntukkan kehidupan mewah melampaui kemampuan atau Living Beyond Means sebagai asas untuk siasatan dan bukti rasuah.

Setakat ini, Seksyen 36 dibawah Akta SPRM iaitu berkaitan dengan ‘Kuasa Untuk Memperoleh Maklumat’ menghadkan kuasa SPRM hanya untuk memaksa mereka yang sedang disiasat kes salah laku dan penyelewengan untuk mengisytiharkan harta dengan notis sekadar untuk membantu siasatan.



Walaupun pendedahan demi pendedahan yang dibuat oleh NOW disokong dengan fakta dan bukti-bukti yang kukuh, mereka yang disyaki terlibat dengan skandal yang berkenaan masih bebas dan gagal dikaitkan dengan sebarang kesalahan mengikut undang-undang sedia ada.

Sebaliknya, pemberi maklumat berdepan dengan risiko dan terdedah dengan siasatan dan tekanan daripada pihak berkuasa.

Kejayaan NOW dalam membuktikan setiap pendedahan dengan elemen salah guna kuasa atau penyelewengan mendapat sokongan orang ramai yang secara langsung jelas menunjukkan tahap integriti yang tinggi dikalangan masyarakat, akan tetapi melangkaui peruntukkan Akta SPRM 2009 untuk dikenakan tindakan susulan.

Kehidupan mewah melampaui kemampuan sewajarnya dijadikan asas bagi membolehkan siasatan salah laku dan penyelewengan dijalankan sekaligus meningkatkan tahap integriti dan usaha melawan rasuah seperti berikut:-

1. Siasatan boleh dijalankan terhadap mana-mana individu yang kehidupannya mewah melampaui kemampuan terutamanya mereka yang berkhidmat atau mempunyai kepentingan awam seperti para Menteri, ahli politik, pegawai kerajaan dan syarikat-syarikat swasta 
2. Menjadi tanggungjawab mana-mana individu yang didapati hidup melampaui kemampuan untuk membuktikan pendapatan dan kekayaan diperoleh melalui cara yang sah disisi undang-undang 
3. Sekiranya seseorang gagal menjelaskan bagaimana harta atau kemewahan diperoleh, kehidupan melampaui kemampuan cukup dijadikan bukti sebagai rasuah dan penyelewengan 
4. Pengisytiharan harta boleh dilaksanakan secara berkala bagi memastikan harta dan kekayaan menggambarkan kemampuan sebenar, sekaligus akan mencegah penyelewengan dan ketirisan diperingkat awal


AKMAL NASIR
Pengarah
National Oversight and Whistleblowers (NOW)