Pages

Wednesday, January 25, 2017

Indeks Persepsi Rasuah 2016 - Jangan Kompromi, Pilih Yang Bersih dan Berani Lawan Rasuah!

KENYATAAN MEDIA:

INDEKS PERSEPSI RASUAH 2016 – JANGAN KOMPROMI, HANYA PILIH YANG BERSIH DAN BERANI MELAWAN RASUAH SEBAGAI PEMIMPIN

Penurunan kedudukan Malaysia ke tangga ke-55 dalam Laporan Indeks Persepsi Rasuah 2016 seperti yang diumumkan oleh Transparency International - Malaysia (TI-M) semalam adalah dijangka.

Datuk Akhbar Satar, Presiden TI-M memperjelaskan bahawa penurunan ini adalah akibat daripada kekurangan kesungguhan pemimpin politik dalam menangani rasuah dengan hanya memberi janji kosong tetapi tidak memperjuangkannya.

Ini terbukti apabila pentadbiran Dato’ Seri Najib Razak dilihat masih gagal untuk membendung gejala rasuah dalam negara yang semakin parah dan malangnya beliau sendiri memungkiri janji untuk menangani isu skandal 1MDB. Lebih memalukan lagi apabila negara-negara lain seperti Amerika Syarikat dan Singapura telah mengambil tindakan yang serius dimana pesalah-pesalah yang berkaitan dengan 1MDB telah dibawa ke mula pengadilan dan dihukum.  

Malah lebih menjengkelkan lagi, ahli-ahli politik di Malaysia secara amnya dianggap mengamalkan rasuah manakala rakyat tiada pilihan melainkan untuk memilih pemimpin yang kurang rasuah pada pilihanraya umum (PRU) yang akan datang.

Maka, bagi membolehkan pilihan yang lebih jelas dalam menentukan kepimpinan negara yang bersih dan berani melawan rasuah, rakyat sewajarnya mendesak pemimpin-pemimpin politik yang akan bertanding pada PRU-14 membuat pendirian yang berikut:-

1.      Komited untuk perjuangkan reformasi institusi yang melibatkan soal ketirisan, keterbukaan dan rasuah. Ianya boleh bermula dengan mengkaji semula akta-akta yang memberi ruang kepada salah guna kuasa termasuklah dengan komitmen untuk memansuhkan Akta Rahsia Rasmi (OSA).

2.      Komited untuk bertindak tegas terhadap mereka yang terlibat dalam rasuah. Ianya boleh bermula dengan memastikan mereka yang terlibat dalam skandal 1MDB dibawa ke muka pengadilan tanpa pengecualian walaupun ini mungkin mengaitkan ahli politik itu sendiri. Langkah ini dapat memberi keyakinan kepada rakyat dalam usaha memerangi rasuah.

Sebagai contoh, negara Singapura terus meningkat ke kedudukan tangga ke-7 bagi Indeks Persepsi Rasuah 2016 dalam keadaan dimana institusi perbankan di Singapura yang terlibat dalam skandal 1MDB telah diarahkan ditutup dan mereka yang terlibat disabitkan hukuman penjara.

3.      Komited untuk tidak menyalahguna kedudukan politik dan mempunyai akauntabiliti sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat. Ini dapat dimulakan dengan mengisytiharkan harta sebelum bertanding dalam PRU14. Sehingga kini, 2 orang pemimpin politik telah mengisytiharkan harta mereka secara terbuka iaitu YB Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Pandan dan YB Datuk Dr Mujahid Yusof, Ali Parlimen Parit Buntar.

Saya yakin sekiranya rakyat tidak berkompromi dalam isu rasuah, ahli-ahli politik samada daripada parti pemerintah mahupun pembangkang terpaksa bersetuju dan mengangkat 3 pendirian ini. Ini bakal membolehkan hanya mereka yang benar-benar bersih dan komited dalam agenda melawan rasuah dipilih menjadi pemimpin.


26 JANUARI 2017

AKMAL NASIR
Pengarah Eksekutif
National Oversight and Whistleblowers (NOW)

Tuesday, January 17, 2017

Ketirisan Dalam FELDA, Adakah Tan Sri Shahrir Akan Ambil Tindakan Tegas?

KENYATAAN MEDIA:

KETIRISAN DALAM FELDA: TIDAK CUKUP SEKADAR PENGAKUAN TETAPI PERLU TINDAKAN TEGAS  


Pengakuan Pengerusi FELDA yang baru dilantik Tan Sri Shahrir Abdul Samad bahawa berlakunya ketirisan dalam FELDA termasuk anak syarikatnya merupakan satu langkah yang wajar dialu-alukan.

Ini menunjukkan perbincangan dan pendedahan demi pendedahan mengenai FELDA terutamanya yang dibawa oleh Yang Berhormat Rafizi Ramli mempunyai asas yang kukuh.

Namun, pengakuan dan arahan kepada semua ahli lembaga pengarah Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) sekadar untuk letak jawatan tidak cukup untuk mengembalikan keyakinan kepada pengurusan FELDA.

Malah, keputusan untuk menjual saham Maybank yang dirujuk sebagai menampung keperluan kewangan menunjukkan betapa parah dan dahsyat masalah kerugian dan ketirisan yang berlaku dalam FELDA, yang akhirnya terpaksa ditanggung oleh FELDA sendiri.

Sebaliknya, tindakan yang lebih penting yang perlu diambil oleh Tan Sri Shahrir Abdul Samad adalah:-


1.      Berapakah anggaran jumlah ketirisan yang berlaku dalam FELDA dan saya pasti Tan Sri Shahri ada maklumat ini memandangkan beliau mengaku ada ketirisan? Umum terutamanya peneroka-peneroka FELDA berhak untuk mengetahui keadaan sebenar.


2.      Adakah perkara ketirisan ini telah diserahkan kepada pihak berkuasa terutamanya Polis Diraja Malaysia bagi menyiasat jika berlakunya unsur jenayah atau Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) jika terdapat unsur rasuah atau pecah amanah?


3.      Jika belum, bilakah Tan Sri Sharir akan membuat laporan polis atau SPRM?


4.      Apakah perancangan dan tindakan-tindakan yang akan diambil bagi mendapatkan kembali wang yang hilang akibat ketirisan?


Tan Sri Shahrir seharusnya tidak berhenti sekadar mengaku bahawa terdapatnya ketirisan dalam FELDA. Sebaliknya, beliau perlu berani untuk mengambil tindakan tegas seperti yang dicadangkan untuk membawa mereka yang berkenaan ke muka keadilan, mendapatkan kembali duit FELDA yang hilang akibat ketirisan dan akhirnya memulihkan keyakinan peneroka-peneroka kepada FELDA.


18 JANUARI 2017

AKMAL NASIR
Pengarah Eksekutif
National Oversight and Whistleblowers (NOW)

Tuesday, January 3, 2017

Beri Perlindungan Pemberi Maklumat Untuk Datuk Bahri

KENYATAAN MEDIA:

PENGAKUAN BEKAS PEGAWAI SPRM MEMPUNYAI MAKLUMAT PEMBERI DAN PENERIMA RASUAH: BERI PERLINDUNGAN PEMBERI MAKLUMAT UNTUK CARI KEBENARAN

Pelbagai media telah melaporkan kenyataan Datuk Bahri Mohd Zin iaitu bekas pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam yang menyebut bahawa beliau memilih bersara awal disebabkan kecewa dengan undang-undang yang hanya memerangkap pesalah kecil, manakala pesalah besar terlepas begitu sahaja.

Lebih mengejutkan lagi, beliau membuat pengakuan secara terbuka bahawa beliau mempunyai maklumat mengenai “semua pemberi rasuah dan pengambil rasuah”.

Ini merupakan satu tuduhan berat terhadap SPRM seolah-olah SPRM tidak mampu memerangi rasuah dan seterusnya mencabar integriti pentadbiran Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak.

Merujuk kepada kes-kes rasuah, ketirisan, penyelewengan dan pembaziran yang begitu teruk pada tahun 2016 seperti yang dilaporkan melalui pendedahan-pendedahan skandal, Laporan Ketua Audit Negara atau Indeks Pembaziran Kerajaan NOW yang secara tidak langsung memberi asas memungkinkan ada kebenaran dalam pengakuan yang dibuat oleh Datuk Bahri.

Demi mencari kebenaran dalam usaha melawan rasuah dan membersihkan nama baik pentadbiran beliau, Dato’ Seri Najib Razak seharusnya menerima pengakuan Datuk Bahri dengan hati terbuka dan mengambil tindakan yang berani iaitu:-

1.      Mengiktiraf Datuk Bahri sebagai seorang pemberi maklumat. Ini termasuk memberi perlindungan kepada beliau seperti yang ditawarkan dalam Aktar Perlindungan Pemberi Maklumat (2012) bagi membolehkan beliau benar dan mendedahkan nama-nama pemberi rasuah dan penerima rasuah.

2.      Bagi membolehkan Datuk Bahri membuktikan maklumat-maklumat beliau, Dato’ Seri Najib perlu mengdeklasifikasikan (declassified) dokumen-dokumen berkaitan yang terletak dibawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

3.      Individu-invididu yang dinamakan oleh Datuk Bahri sebagai pemberi rasuah atau penerima rasuah wajar dipanggil dan diberi ruang untuk membela diri secara terbuka. Ini boleh dilakukan dengan merujuk mereka kepada jawatankuasa khas Parlimen atau dengan membentuk Suruhanjaya khas bagi menyiasat maklumat yang didedahkan.

Ini merupakan peluang terbaik Dato’ Seri Najib Razak untuk memulihkan integriti pendtabiran beliau dalam usaha melawan rasuah. Sekiranya pentadbiran beliau gagal mengambil tindakan yang sewajarnya susulan pengakuan Datuk Bahri, rakyat akan terus hilang kepercayaan terhadap usaha pentadbiran beliau melawan rasuah dan penyelewengan.

4 JANUARI 2017

AKMAL NASIR
Pengarah Eksekutif
National Oversight and Whistleblowers (NOW)