Pages

Wednesday, January 25, 2017

Indeks Persepsi Rasuah 2016 - Jangan Kompromi, Pilih Yang Bersih dan Berani Lawan Rasuah!

KENYATAAN MEDIA:

INDEKS PERSEPSI RASUAH 2016 – JANGAN KOMPROMI, HANYA PILIH YANG BERSIH DAN BERANI MELAWAN RASUAH SEBAGAI PEMIMPIN

Penurunan kedudukan Malaysia ke tangga ke-55 dalam Laporan Indeks Persepsi Rasuah 2016 seperti yang diumumkan oleh Transparency International - Malaysia (TI-M) semalam adalah dijangka.

Datuk Akhbar Satar, Presiden TI-M memperjelaskan bahawa penurunan ini adalah akibat daripada kekurangan kesungguhan pemimpin politik dalam menangani rasuah dengan hanya memberi janji kosong tetapi tidak memperjuangkannya.

Ini terbukti apabila pentadbiran Dato’ Seri Najib Razak dilihat masih gagal untuk membendung gejala rasuah dalam negara yang semakin parah dan malangnya beliau sendiri memungkiri janji untuk menangani isu skandal 1MDB. Lebih memalukan lagi apabila negara-negara lain seperti Amerika Syarikat dan Singapura telah mengambil tindakan yang serius dimana pesalah-pesalah yang berkaitan dengan 1MDB telah dibawa ke mula pengadilan dan dihukum.  

Malah lebih menjengkelkan lagi, ahli-ahli politik di Malaysia secara amnya dianggap mengamalkan rasuah manakala rakyat tiada pilihan melainkan untuk memilih pemimpin yang kurang rasuah pada pilihanraya umum (PRU) yang akan datang.

Maka, bagi membolehkan pilihan yang lebih jelas dalam menentukan kepimpinan negara yang bersih dan berani melawan rasuah, rakyat sewajarnya mendesak pemimpin-pemimpin politik yang akan bertanding pada PRU-14 membuat pendirian yang berikut:-

1.      Komited untuk perjuangkan reformasi institusi yang melibatkan soal ketirisan, keterbukaan dan rasuah. Ianya boleh bermula dengan mengkaji semula akta-akta yang memberi ruang kepada salah guna kuasa termasuklah dengan komitmen untuk memansuhkan Akta Rahsia Rasmi (OSA).

2.      Komited untuk bertindak tegas terhadap mereka yang terlibat dalam rasuah. Ianya boleh bermula dengan memastikan mereka yang terlibat dalam skandal 1MDB dibawa ke muka pengadilan tanpa pengecualian walaupun ini mungkin mengaitkan ahli politik itu sendiri. Langkah ini dapat memberi keyakinan kepada rakyat dalam usaha memerangi rasuah.

Sebagai contoh, negara Singapura terus meningkat ke kedudukan tangga ke-7 bagi Indeks Persepsi Rasuah 2016 dalam keadaan dimana institusi perbankan di Singapura yang terlibat dalam skandal 1MDB telah diarahkan ditutup dan mereka yang terlibat disabitkan hukuman penjara.

3.      Komited untuk tidak menyalahguna kedudukan politik dan mempunyai akauntabiliti sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat. Ini dapat dimulakan dengan mengisytiharkan harta sebelum bertanding dalam PRU14. Sehingga kini, 2 orang pemimpin politik telah mengisytiharkan harta mereka secara terbuka iaitu YB Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Pandan dan YB Datuk Dr Mujahid Yusof, Ali Parlimen Parit Buntar.

Saya yakin sekiranya rakyat tidak berkompromi dalam isu rasuah, ahli-ahli politik samada daripada parti pemerintah mahupun pembangkang terpaksa bersetuju dan mengangkat 3 pendirian ini. Ini bakal membolehkan hanya mereka yang benar-benar bersih dan komited dalam agenda melawan rasuah dipilih menjadi pemimpin.


26 JANUARI 2017

AKMAL NASIR
Pengarah Eksekutif
National Oversight and Whistleblowers (NOW)