Pages

Tuesday, March 28, 2017

Beban Anak Muda 33 Tahun Akan Datang Dihebohkan, Sekarang Sudah Terang Lagi Bersuluh

KENYATAAN MEDIA

Saya meneliti ucapan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bahawa Pelan Transformasi Nasional 2050 (TN50) direncanakan bagi memastikan generasi akan datang tidak 'mewarisi' beban peningkatan kos sara hidup yang dihadapi rakyat pada masa kini.


Khairy juga mengesahkan tindakan kerajaan Umno BN selama ini bersifat jangka pendek dan reaktif yang dilihat gagal merealisasikan aspirasi Wawasan 2020 dan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK).


Setelah Wawasan 2020 gagal disempurnakan kerana pelbagai masalah ketirisan yang disebabkan oleh kepimpinan Umno BN yang tidak cekap, Umno BN masih berangan lagi mahu mentadbir sehingga tahun 2050.


Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah tidak perlu tunggu TN50, ini kerana beban yang ada sekarang secara jelas tidak mampu diselesaikan. Malah Umno BN masih ada hati hendak bercakap tentang beban anak muda 33 tahun akan datang. Keadaan ekonomi global yang penuh ketidaktentuan dan kedudukan defisit kewangan negara yang semakin melebar saban tahun.


Negara seharusnya mengambil pendekatan berhemah dalam mengurus perbelanjaan dan bukannya terus berhutang untuk mengaut keuntungan jangka pendek yang akan mengakibatkan bebanan hutang untuk generasi akan datang.


Sepertimana laporan Kajian Indeks Sentimen Pelabur Manulife (MISI) pada awal 2016 lalu, mendapati 68 peratus daripada rakyat Malaysia dibebani dengan hutang, kadar tertinggi dalam kalangan lapan pasaran yang ditinjau di Asia dan lebih dua kali ganda purata serantau seba­nyak 33 peratus.

Dengan anggaran purata hutang di Malaysia adalah RM56,000 iaitu kira-kira 10 kali lebih tinggi daripada purata pendapatan peribadi bulanan individu.

Fakta terpenting pada masa ini bagi setiap warganegara Malaysia sama ada baru sahaja lahir atau yang masih bernyawa tetap dibebani cukai GST dan seterusnya secara automatik akan mewarisi hutang negara akibat ketirisan, kebocoran dan penyelewengan di bawah pentadbiran Najib Razak.

Saya begitu yakin generasi muda yang ada pada hari ini sudah tidak sanggup  lagi menghadapi bebanan hidup di bawah pemerintahan Umno BN dan mereka tidak akan teragak-agak untuk mengundi Pakatan Harapan kerana dengan hanya pada peti undi dapat menentukan nasib negara ini.


Akmal Nasir
Pengarah Strategi,
Angkatan Muda KEADILAN