Pages

Wednesday, April 19, 2017

Lambakan Pekerja Asing Sukarkan Negara Capai 3.3 Juta Pekerja Mahir Pada 2020

Saya mengambil maklum kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia Negeri Johor, R. Vidyananthan yang mengatakan bahawa golongan muda lebih suka memilih bidang kerja yang mudah kerana tidak mahu bekerja di bawah panas terik matahari dan mahu bekerja dengan selesa di bawah penghawa dingin walaupun ditawarkan gaji rendah.


1. Bagi saya, ini bukan isu utama yang perlu dibangkitkan dengan menyalahkan belia semata-mata sedangkan kerajaan sendiri tidak memberi fokus yang jelas terhadap pasaran kerja ketika ini.
Misalnya, dalam pembentangan Bajet 2017 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebanyak 9 buah kampus Institut Pendidikan Guru (IPG) akan diubahsuai untuk menjadi Politeknik dan Kolej Vokasional, atau Pendidikan Teknikal dan latihan Vokasional (TVET), yang dikatakan kerajaan dapat menjimatkan peruntukan sehingga RM2 bilion.

Dikatakan peruntukan itu selaras dengan usaha kerajaan bagi meningkatkan jumlah pelajar TVET daripada 164,000 orang kepada 225,000 orang menjelang tahun 2020.

Namun bagi saya, hasrat negara untuk mencapai sasaran 3.3 juta pekerja mahir menjelang tempoh berkenaan tetap sukar kerana peruntukan ke atas sektor pendidikan telah dipotong berkali-kali dalam Bajet 2016 serta 2017.


2. Hakikatnya, Malaysia mempunyai tidak sampai 10 peratus pelajar aliran vokasional berbanding 60 peratus di kebanyakan negara-negara yang mencapai taraf negara perindustrian. Angka ini menunjukkan negara masih terlalu jauh untuk menghasilkan tenaga kerja mencukupi dalam sektor berasaskan teknologi dan inovasi.

3. Hal ini juga menimbulkan tanda tanya apakah strategi khusus kerajaan dalam meningkatkan keupayaan penyediaan tenaga kerja berkemahiran. Saya melihat trend terkini kerajaan adalah lebih fokus kepada bidang atau industri yang memerlukan kerja asing upah rendah daripada menyediakan latihan teknikal dan vokasional untuk anak muda tempatan atau membangunkan industri berteknologi tinggi.


4. Saya menegaskan bahawa mengikut statistik, terdapat 6.7 juta pendatang asing di Malaysia dan daripada jumlah itu, hanya 2.1 juta sahaja yang mempunyai permit sah.

Oleh kerana pengambilan tenaga kerja asing yang terlalu banyak, hal itu telah menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan taburan tenaga kerja, malah di tapak-tapak binaan yang memerlukan tenaga mereka sekali pun.


5. Lebih buruk lagi, mengikut laporan Lembaga Pembangunan Pembinaan Industri Malaysia (CIDB), sebanyak 93 peratus pekerja asing dalam sektor pembinaan ini tidak mempunyai kemahiran, manakala pekerja tempatan yang berkemahiran pula hanyalah sekitar 16 peratus.

6. Selain itu, kerajaan juga kurang peka terhadap golongan belia yang mengharapkan peluang kerja bergaji kompetitif menerusi pembangunan wilayah perindustrian baharu. Pendekatan ini pada saya akan mengurangkan migrasi golongan belia ke bandar-bandar besar berikutan tarikan pekerjaan.

Oleh itu, saya menyeru agar kerajaan lebih fokus dalam melatih anak muda bagi melahirkan pekerja berkemahiran tinggi selain melaksanakan perancangan khusus membangunkan industri berteknologi tinggi untuk mengelakkan negara daripada terus bergantung kepada industri yang berasaskan buruh asing upah murah.